KEJOHANAN MEMANAH SIRKIT KEBANGSAAN PERTAMA & TERBUKA PKS UniSZA 2013
Universiti Sultan Zainal Abidin dengan kerjasama Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia akan menganjurkan Kejohanan Memanah Sirkit Kebangsaan Pertama dan Terbuka PKS UniSZA 2013 pada 23 hingga 27 Oktober 2013 bertempat di UniSZA Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu.
Kejohanan yang julung kali dianjurkan oleh UniSZA ini melibatkan penyertaan daripada pasukan seluruh Malaysia serta beberapa pasukan jemputan dari luar Negara. Setakat ini, telah hampir 300 orang peserta yang mendaftar untuk mengambil bahagian terdiri daripada pasukan kebangsaan, negeri-negeri, IPT dan kelab-kelab termasuk empat pasukan dari Indonesia.
Pihak Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia telah memilih UniSZA sebagai tuan rumah kejohanan sirkit kebangsaan ini dan kami berbangga dengan kepercayaan yang diberikan. Majlis Perasmian kejohanan akan diadakan pada 23 Oktober 2013. Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM 6,000.00 ini turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.